Warga Emas Jadi Pengantin Baru

Pasangan warga emas selamat dinikahkan pada Majlis Nikah Jamaie Syarie Kali ke-7 Peringkat Negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah semalam.

Menurut laporan Sinar Harian, pasangan terbabit, Muajam Saion, 62, dan Siti Habsah Mohd Isa, 57, sebelum ini saling mengenali antara satu sama lain.

Muajam berkata, suri hatinya adalah rakan baik kepada arwah isterinya yang meninggal tiga tahun lalu.

“Perkahwinan ini juga adalah sebahagian wasiat arwah isteri saya untuk menjadikan Siti sebagai teman hidup. Mereka berdua adalah sahabat baik,” katanya.

Pesara itu memberitahu, dia memilih menyertai majlis berkenaan kerana lebih mudah dan meriah dengan kehadiran ramai tetamu. Seramai 17 pasangan diraikan serentak dalam majlis Nikah Jamaie Syarie di Masjid Sultan Azlan Shah di sini. 

Sementara itu, Norliya Amir, 31 dan adiknya, Ghazali Amir, 24, memilih untuk melangsungkan pernikahan ini bersama pasangan masing-masing kerana lebih jimat dan menepati syariat Islam.

Sumber : Sinar Harian