[VIDEO] Agong Turun Dari Kenderaan Periksa Mangsa Kemalangan

SHAH ALAM – Sikap keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tidak dapat dinafikan lagi apabila kali ini Seri Paduka bertindak turun dari kenderaan rasmi untuk memeriksa keadaan seorang mangsa kemalangan, berhampiran persimpangan USJ, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), petang ini.

Perkara itu dikongsikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam laman sosial Instagramnya kira-kira pukul 6.00 petang ini.

Berdasarkan perkongsian itu, Sultan Abdullah dilaporkan dalam perjalanan pulang selepas manghadiri program ‘Anak-anak Malaysia Walk 2019’ di Eco Ardence di Setia Alam di sini.

Mangsa berkenaan, seorang wanita, dilaporkan mengalami kecederaan ringan apabila kenderaannya terbabas dan terbalik di laluan kanan lebuh raya itu.

Menerusi perkongsian itu juga, Seri Paduka kemudian menitahkan polis pengiring menghantar mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

Jun lepas, Sultan Abdullah turut membantu mangsa kemalangan di Putrajaya ketika dalam perjalanan menghadiri Mesyuarat Pra-Kabinet dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Melawati. – Bernama

[VIDEO] Agong turun dari kenderaan periksa mangsa kemalangan

[VIDEO] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berhenti dan membantu mangsa kemalangan di Lebuh Raya Elite hari ini.Seri Paduka bertitah agar polis pengiring segera beri bantuan dan menghantar mangsa ke hospital.Raja berjiwa rakyat.Berita penuh di https://bit.ly/2ZGYGF1#kosmo #agong #daulattuanku Video dari Twitter Mohamed Azmin Ali @azmin_ali

Posted by Kosmo Online on Sabtu, 31 Ogos 2019

Sumber : Kosmo Online