Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menganggap kumpulan yang mengugut untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana membantah pembelajaran Jawi sebagai sikap “bodoh sombong”.
Merujuk kepada laporan portal berita TMI, anggota parlimen Muar itu berkata pembelajaran Jawi tersebut kini sudah bersifat pilihan dan tidak dimasukkan dalam peperiksaan.
“Kamu tidak boleh lebih bodoh sombong daripada ini,” ciapnya di Twitter semalam.Iklan
Sanggup menghalang anak dari dapat pendidikan hanya kerana takut 3 muka surat berkenaan jawi yang tidak dimasukkan ke dalam exam & sudah pun opsyenal.
— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) August 25, 2019
You cannot get more bodoh sombong than this. https://t.co/r9C8iqT4Eg
Terdahulu sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Pasukan Bertindak Seni Khat (Sekat) yang menuntut agar kerajaan mengadakan dialog dengan mereka berhubung cadangan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah vernakular.
Jika gagal kata Sekat mereka akan meyakinkan ibu bapa terbabit agar berhenti menghantar anak masing-masing ke sekolah sebagai tanda protes.
“Jika tuntutan kami tidak dipenuhi, kami mahu ibu bapa tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
“Kami akan adakan kempen untuk meyakinkan anak-anak untuk tidak pergi ke sekolah,” kata Setiausaha Sekat, Arun Dorasamy seperti dipetik TMI.