Pemain TRW ‘mengamuk’ gaji tertunggak dua bulan

BARISAN pemain The Red Warriors (TRW) ‘mengamuk’ selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dilaporkan masih belum membuat pembayaran gaji sehingga biarpun berjanji berbuat demikian pada 15 September lalu.

Rata-rata pemain Kelantan yang naik angin dengan kegagalan KAFA telah menzahirkan kemarahan dengan tindakan memuat naik status di laman sosial Instagram masing-masing, selepas masih belum menerima bayaran tunggakan gaji beberapa hari lalu.

Sumber dalaman KAFA ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan sehingga hari ini bayaran gaji itu masih belum dibuat.

Menurutnya, badan induk itu juga masih belum menerima wang sebagaimana yang dijanjikan oleh pihak penaja.

“Saya difahamkan tunggakan gaji itu sudah lebih daripada dua bulan.

“Selain skuad Liga Premier, pasukan Piala Presiden turut berdepan masalah itu yang dilaporkan sudah masuk tujuh bulan,” katanya.

Sumber KAFA memberitahu, pihaknya amat berharap badan induk itu dapat menyelesaikan segera masalah tunggakan gaji para pemain.

Katanya, kegagalan KAFA berbuat demikian dikhuatiri akan memburukkan lagi imej badan induk bola sepak negeri berkenaan.

“Masalah tunggakan gaji seolah-olah sudah menjadi ‘barah’ buat KAFA.

“Jadi, barisan kepimpinan baharu tidak boleh membiarkan perkara tersebut terus berlaku dalam KAFA,” ujarnya.