Mufti Perak Ajak Umat Islam Sokong Kempen Produk Muslim

Kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) yang kini digerakkan dalam masyarakat adalah implementasi daripada konsep ta’awun bagi memperkasa ekonomi umat Islam di negara ini.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria menjelaskan, konsep ta’awun atau tolong-menolong yang juga perkara asas dalam agama Islam termasuk jual beli mempunyai kebaikan dan falsafah tersendiri dalam membangunkan serta menjaga kepentingan ekonomi umat Islam.

Beliau berkata, adalah menjadi keutamaan kepada umat Islam untuk mendaulatkan segala perintah al-Quran dan hadis dalam segenap aspek kehidupan termasuklah aktiviti jual beli dan dikira sebagai mujahadah serta ibadah di sisi Allah.

“Umum mengetahui bahawa kekuatan sesuatu bangsa adalah dipengaruhi oleh kekuatan ekonominya. Sebagai umat Islam kekuatan akidahlah yang akan mempengaruhi kekuatan ekonomi kita.

“Seorang Islam yang kuat akidahnya akan memperkuatkan ekonominya dengan memastikan rantaian produk mestilah bersumberkan yang halal dan thoyyib.

“Thoyyib merujuk kepada perkara-perkara kebaikan yang ada pada produk tersebut meliputi sumber-sumber bahan mentah dan kaedah-kaedah penyediaan produk itu termasuklah pekerja yang bersih serta mempunyai hati yang ikhlas dan jujur,” kata Harussani dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau menegaskan agama Islam menuntut umatnya untuk berusaha memperkasa ekonomi sendiri dengan mengeluarkan dan membekalkan produk buatan sendiri.

Hal yang demikian katanya, adalah disebabkan umat Islam mengetahui hukum-hakam dan prinsip-prinsip penyediaan sesuatu produk tersebut.

“Pada masa sama Islam tidak menafikan hak dan pembabitan orang bukan Islam dalam berjual-beli dengan syarat mematuhi hukum dan etika pengeluaran sesuatu produk. Malah asas kepada urusan jual beli yang dititikberatkan dalam Islam adalah unsur saling meredhai (taradhin).

“Maka dengan ini saya menyeru seluruh umat Islam di negara ini agar bersama-sama menjayakan agenda memperkasakan ekonomi umat Islam dengan berusaha bersungguh-sungguh membeli dan menyokong produk muslim. Marilah kita merealisasikan perintah Allah supaya kita semua dilimpahi naungan rahmat dan kasih sayang-Nya,” kata beliau.

Kempen Beli Produk Muslim adalah suatu altenatif bagi mengangkat dan mempromosikan barangan dan produk keluaran muslim.

Ia dilancarkan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dengan kerjasama Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) dan ABATA Commerce Sdn Bhd, bagi tujuan membantu meningkatkan pendapatan peniaga Islam dan memberi alternatif lain kepada masyarakat Islam.

Selain itu, ia juga meningkatkan kuasa beli dan aliran ekonomi ummah selain mengetengahkan produk serta perkhidmatan yang halal di seluruh negara.

Sumber: Cempedak Cheese