Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandriah hari ini bertitah bahawa baginda menyahaktif akaun Twitter bukan disebabkan sedih atau marah.
Sebaliknya, akaun @cheminahsayang itu dinyahaktif atas alasan peribadi dan bukannya disebabkan siber buli.
Tulisan Tunku Azizah itu dikongsi oleh anakanda baginda Tengku Puteri Afzan Aminah di laman Twitter sebentar tadi.
Tunku Azizah bertitah lagi, baginda tidak bersedih atau marah atas komen itu (merujuk kepada komen pembuli siber) kerana tidak membaca atau mengetahuinya.
Baginda bertitah agar orang ramai tidak membuat laporan polis terhadap tindakan segelintir pihak yang membuat komen tidak enak terhadap baginda.
Rabu lalu, akaun @cheminahsayang milik baginda telah dinyahaktif dipercayai disebabkan ada segelintir pemilik akaun yang menulis komen jelik melalui bebenang ciapan di Twitter.
Petang semalam salah seorang pemilik akaun itu telah menyembah ampun kepada Permaisuri Agong terhadap tindakannya yang menyinggung pelbagai pihak. – K! ONLINE